Malaysiakini

Malaysian Tigers gagal ke Tokyo 2020

Bernama

Diterbitkan

Impian skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun terkubur apabila tewas 5-2 kepada Great Britain pada aksi play-off kedua di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, lewat malam tadi.

Justeru, Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama semalam.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000. Skuad negara menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Malaysia yang turun dengan wajib memburu kemenangan besar, dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain.

Skuad kendalian ketua jurulatih Roelant Oltmans itu meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan Malaysia, namun keputusan berpihak kepada Great Britain.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S Kumar pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah Mohd Fitri Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32 namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum perlawanan suku masa ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-40.

Malaysia Tigers yang tertekan untuk memburu gol, pada suku terakhir perlawanan, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatrik peribadinya dengan penyudahan pukulan penalti pada minit berikutnya.

- Bernama