Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Red Warriors tak perlu terburu-buru ambil pemain import
Diterbitkan:  Nov 25, 2019 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan khidmat pemain import bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Yusri berkata walaupun beliau mendapat mandat sepenuhnya dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi pemilihan pemain terutamanya pemain import, beliau tidak mahu mengambil langkah 'rugi' dalam aspek itu.

"Saya akan melihat dari pelbagai aspek, apa yang penting pemain itu boleh bermain dengan sistem permainan saya dan cepat menyesuaikan diri dengan permainan bola sepak Malaysia serta rakan pasukan yang lain.

"Saya tidak boleh hanya melihat kepada rekod pencapaian pemain impot yang akan dibeli, ada mereka mempunyai rekod cemerlang di liga lain namun apabila datang ke Kelantan mereka gagal mempamerkan permainan yang diharapkan pasukan sehingga kita terpaksa menukar kepada pemain import lain," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Pada saingan musim ini, TRW nyaris disingkirkan ke Liga M3 musim hadapan berikutan prestasi tidak konsisten apabila berada di kedudukan ke-10 Liga Premier.

Yusri berkata keputusan pemilihan empat pemain import bergantung kepada kewangan yang telah diperuntukan oleh majikannya.

"Sudah tentu sebagai jurulatih saya mahu pemain yang bagus, namun perlu juga melihat kewangan persatuan, oleh itu saya tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan khidmat pemain asing.

"Sekarang ini sudah ada beberapa calon namun saya tidak boleh dedahkan untuk proses penilaian dan proses-proses lain," katanya.

Katanya, empat pemain import itu diperlukan bagi memperkuatkan posisi serangan, tengah dan pertahanan selain dibantu oleh pemain tempatan yang lain.

"Pada sesi latihan ketika ini saya memberikan tumpuan kepada tahap kecergasan dan taktikal pemain sedia ada. Senarai pemain akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS