Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Skuad Indonesia mahu Ruud Gullit sebagai jurulatih
Diterbitkan:  Dec 4, 2019 5:59 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) hari ini mendedahkan pihak mereka sedang berusaha untuk membawa bekas pemain legenda Belanda dan kelab AC Milan, Ruud Gullit untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan republik itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan CNN Indonesia, PSSI dilaporkan sudah mencuba untuk menghubungi bekas pemenang Ballon d Or tahun 1987 itu sejak seminggu yang lalu melalui setiausaha agung mereka Ratu Trisha yang kini berada di Belanda.

“Kami sedang menghubungi Ruud Gullit, tetapi masih belum menerima maklum balas daripada pihaknya.

“Kami juga telah meminta setiausaha agung Ratu Tisha untuk berhubungan dengan Gullit di Indonesia. Bagaimanapun masih belum ada kepastian sama ada dia mampu atau tidak untuk berbuat demikian,” kata Ketua Umum PSSI Mochamad Iriawan atau Iwan Bule.

Gullit yang kini berusia 57 tahun pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah dan pernah memenagi gelaran pemain terbaik dunia Ballon d or ketika mewakili kelab Belanda PSV Eindhoven pada 1987.

Kelab Inggeris, Chelsea menjadi kelab terakhir yang disertainya sebelum bersara.

Bersama Chelsea, Gullit juga sempat memangku tugas sebagai pemain-pengurus dan berjaya membawa The Blues merangkul kejuaraan Piala FA musim 1996/1997 sebelum meninggalkan Stamford Bridge pada 1998.

Kekosongan jawatan dalam pasukan kebangsaan Indonesia berlaku setelah jurulatih mereka sebelum ini Simon McMenemy digugurkan selepas dilihat gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan Garuda Merah itu dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun ini.

Selain Gullit, antara nama lain yang turut didedahkan oleh Ketua Umum PSSI adalah Luis Milla dan Shin Tae-yong.

Milla adalah bekas jurulatih skuad bawah 22 tahun dan senior negara itu pada 2017 dan 2018. Manakala Tae-yong pula adalah bekas jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan.

Bagaimanapun, menurut Bule mereka akan menunggu sehingga akhir bulan ini bagi mendapatkan keputusan dari Gullit dan pada masa sama masih belum memuktamadkan mengenai idea untuk melantik Luis Milla dan Shin Tae-yong.

“Kami akan menunggu sehingga akhir bulan. Kami sudah cuba menghubunginya sejak seminggu yang lalu. Mudah-mudahan ada khabar dari Gullit,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS