Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SUKAN SEA | Pemain badminton negara, Kisona Selvaduray, mencipta kejutan di temasya Sukan SEA Filipina apabila meraih pingat emas dalam acara badminton perseorangan wanita hari ini.

Kisona yang berusia 21 tahun dan hanya berada di kedudukan 104 dunia menewaskan lawannya dari Indonesia, Ruselli Hartawan, dengan 20-22, 21-14, 21-13 untuk menambah koleksi emas buat kontinjen Malaysia.

Ruselli berada di kedudukan 37 dunia.

Walaupun dibezakan ranking dengan ketara, Kisona berjaya menampilkan permainan bertenaga walaupun hanya hadir sebagai pemain gantian ke Filipina kali ini.

Dia hanya disenaraikan sebagai wakil Malaysia selepas penyandang pingat emas sebelum ini, Goh Jin Wei, terpaksa menarik dari selepas menjalani pembedahan.

Kejayaan Kisona meraih emas itu mungkin agak mengejutkan bagi sesetengah pihak yang tidak mengikuti perkembangan kejohanan kali ini.

Namun, bagi mereka yang mengikuti kejohanan dari peringkat awal, kemenangan Kisona itu boleh diibaratkan sebagai penamat kisah dongeng yang sempurna buat atlet Malaysia itu.

Ketika beraksi di peringkat awal kejohanan, Kisona turut menewaskan dua lawan dari Indonesia dan Thailand yang berada di kedudukan dunia lebih tinggi daripadanya.

Paling mencuri tumpuan adalah ketika beliau beraksi di peringkat aksi separuh akhir, apabila lawannya dari Thailand, Nitchaon Jindapol, terpaksa tunduk dengan kelincahannya dalam gelanggang.

Nitchaon berada di kedudukan ke 22 dunia.

Dalam perlawanan tiga set itu, Kisona berhempas pulas untuk memenangi set kedua dengan keputusan 27-25 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga selepas tewas di set pertama.

Di set terakhir Kisona berjaya menundukkan lawannya itu dengan keputusan 21-14 sekaligus membawanya ke perlawanan akhir.

Lihat Komen
ADS