Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mat Yo digugurkan dari skuad Tok Gajah
Diterbitkan:  Dec 10, 2019 4:47 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Setelah dua musim bersama Pahang, bekas pemain paling bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dikhabarkan semakin hampir digugurkan skuad itu musim hadapan.

Dia yang menyertai Pahang pada 2018 dari Felda United dijangka tidak akan disambung kontrak menjelang saingan musim 2020 seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Menurut sumber yang dipetik laporan itu, Noshahrul atau Mat Yo serta beberapa lagi pemain utama tidak akan ditawarkan kontrak baru kerana pengurusan pasukan mahu membuat perubahan selepas gagal memenangi sebarang kejuaraan musim lalu.

Skuad Tok Gajah pada musim lalu hanya berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan kedua di belakang pemenang Johor Darul Ta'zim dengan perbezaan 10 mata walaupun hanya mencatat tiga kekalahan saja sepanjang musim.

Manakala dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula mereka gagal untuk ke perlawanan akhir selepas tewas masing-masing kepada Perak dan Kedah di perlawanan separuh akhir.

Selain Mat Yo, beberapa nama yang dijangka tidak akan ditawarkan kontrak oleh pengurusan pasukan adalah Afif Amiruddin, R. Kogileswaran, A Salomon Raj, serta Zubir Azmi.

"Pahang kini dalam proses pembentukan pasukan termasuk berusaha menyenaraikan pemain baru untuk memberi saingan kepada lawan.

"Segalanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk pemain import selepas tiga daripada lima import tidak lagi bersama Pahang musim depan," katanya.

Untuk kuota pemain import pula, Pahang setakat ini sudah mengesahkan tiga tonggak mereka Lazarus Kaimbi, Safuwan Baharuddin serta pemain muda Indonesia Saddil Ramdani juga tidak akan disambung kontrak mereka di Stadium Darul Makmur.

Manakala status dua lagi pemain import mereka, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon untuk musim hadapan pula masih tidak diketahui.

Lihat Komen
ADS