Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

SUKAN SEA | Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) bersetuju memulangkan semula pingat emas dimenangi atlet kebangsaan, Izzah Amzan, yang memenangi apparatus riben pada Sabtu lalu setelah meneliti buku peraturan teknikal temasya sukan dwitahunan itu.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Ketua Kontinjen Malaysia Megat Zulkarnain Omardin.

Katanya pingat emas berkenaan akan dimasukkan semula ke carta kutipan pingat kontinjen Malaysia selewat-lewatnya hari ini.

"Mereka (PHISGOC) bersetuju dengan klausa dalam buku peraturan Sukan SEA dan akan memulangkan semula (pingat emas) berkenaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Semakan di dalam laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina, gms.2019seagames.com hari ini, mendapati sekretariat pertandingan masih belum memasukkan nama Izzah sebagai pemenang bersama dengan seorang lagi gimnas negara, Koi Sie Yan.

Dua gimnas kebangsaan itu sebelum ini mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus riben tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri.

Sehari kemudian, PHISGOC dilaporkan menarik balik pingat emas kerana dikatakan mengikut peraturan teknikal Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) sekiranya dua gimnas terikat dengan keputusan sama, pemenang ditentukan mengikut tahap kesukaran rutin.

Izzah turut memenangi satu emas dalam acara bola serta satu pingat perak dalam acara gelung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS