Penyerang bawah 22 tahun kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, kekal beraksi bersama kelab divisyen dua liga bolasepak Jepun, J1 League, untuk tempoh setahun lagi.

Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, berkata syarikatnya sedia menyambung penajaan pemain Fagiano Okayama itu kerana mendapati dia mempunyai potensi besar untuk menyinar pada masa hadapan.

Katanya Hadi Fayyadh selaku pemain penyerang menunjukkan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan selama setahun dengan kelab tersebut.

“Dia menunjukkan persembahan yang baik dan baru berumur 19 tahun.

"Saya percaya bakatnya boleh digilap untuk menjadi pemain yang lebih baik. Kecederaannya pada tahun lepas dan masalah bahasa menjadi kekangan kepada beliau untuk menunjukkan bakatnya.

“Saya percaya ia boleh diperbaiki dan kebanyakan pemain untuk J1 League menunjukkan persembahan terbaik pada umur 21 dan 22 tahun,” katanya pada sidang media di Akademi Mokhtar Dahari di Kuantan, hari ini.

Hamada menambah pihaknya juga akan terus menaja pemain berpotensi itu sebagai tanda kepercayaan dan sokongan kepada Hadi Fayyadh yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk sukan bola sepak termasuk semasa berada di Jepun.

Sementara itu, Hadi Fayyadh mengakui meskipun persembahannya pada musim lalu tidak konsisten, dia optimis mampu menyinar di negara matahari terbit itu dengan sokongan padu keluarga, Yakult Malaysia dan Fagiano Okayama.

"Persembahan saya musim lalu ada naik turun terutamanya semasa mengalami kecederaan selama dua bulan selain sedang cuba menyesuaikan diri di sana.

"Tetapi tiada yang mustahil untuk saya bangkit dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Saya juga sudah tahu apa yang dikehendaki oleh jurulatih dan akan berusaha memenuhi apa yang diharapkan," katanya.

Hadi Fayyadh menambah dia juga masih tetap berlatih walaupun dalam tempoh berehat bagi memastikan dirinya tetap cergas dan tidak sukar untuk mengejar keupayaan rakan sepasukan sekembalinya ke Jepun.

- Bernama