Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi jaminan akan menyelesaikan baki tunggakan bayaran luar kontrak kepada 12 bekas pemain Terengganu FC (TFC) seperti dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, PBSNT memerlukan sedikit masa memandangkan mereka menghadapi kesulitan kewangan setelah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan tiada baki hak penyiaran Liga Malaysia 2019 akan diagihkan kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata ketiadaan dana tersebut amat memberi kesan kepada mereka kerana pelbagai perancangan awal - termasuk pembayaran 50 peratus baki bayaran luar kontrak kepada bekas pemain TFC - terjejas.

"Kami tidak jangka keadaan begitu serius sehingga MFL tidak dapat melunaskan tunggakan menyebabkan perancangan PBSNT menghadapi kesulitan.

"Bagaimanapun mengambil inisiatif dan tanggungjawab dengan komitmen yang dibuat terhadap pemain, TFC menjelaskan 75 peratus bayaran kepada rata-rata bekas pemain yang tidak dilanjutkan kontrak dengan 25 peratus daripadanya menggunakan dana TFC yang masih ada," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Isu berhubung tunggakan bayaran timbul apabila beberapa bekas pemain TFC memuat naik hantaran di laman sosial dengan menyindir pengurusan PBSNT sehingga mengundang kecaman daripada peminat bola sepak negeri terhadap badan tersebut.

Mohd Syahrizan berkata pihaknya kesal dengan sikap sebahagian bekas pemain yang menularkan masalah tersebut sehingga memberi imej buruk kepada PBSNT.

Menurut beliau tindakan tersebut sangat agresif dan tidak bertanggungjawab kerana PBSNT memberikan penjelasan secara panjang lebar dan memohon sedikit ruang bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

"TFC tidak akan sama sekali melarikan diri daripada tanggungjawab, tetapi meminta sedikit ruang untuk menyelesaikan masalah ini daripada berlarutan," katanya yang tetap mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti bekas pemain tersebut ketika bersama TFC.

Pada masa sama, Mohd Syahrizan meminta supaya bekas pemain menggunakan saluran betul seperti FAM dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk melaporkan sebarang perasaan tidak puas hati atau tuntutan.

Katanya PBSNT juga tidak mempunyai masalah dari segi pembayaran gaji kerana ia dibayar secara konsisten sehingga bulan terakhir 2019.

- Bernama