Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pemain Kelantan belum betul-betul cergas, kata jurulatih

Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mengakui pemain The Red Warriors masih belum cergas sepenuhnya untuk menghadapi saingan liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Premier musim hadapan.

Yusri berkata perkara itu dikesan menerusi perlawanan persahabatan pertama menentang Terengganu Jumaat lepas selepas pemainnya menjalani latihan selama enam minggu.

"Rata-rata pemain belum cergas dan perkara ini memberi kegusaran kepada saya untuk melakukan persiapan lain bagi membentuk satu pasukan yang jitu.

"Walaupun masih tinggal dua bulan lagi untuk melakukan persiapan, namun aspek kecergasan amat penting untuk dititikberatkan oleh mana-mana pasukan bagi menilai kemampuan pemain yang dimiliki," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata dalam baki masa yang ada sebelum sepak mula Feb nanti, pemain perlu mengatasi perkara itu dengan mencari inisiatif sendiri, selain latihan yang dilakukan bersama pasukan.

"Kecergasan penting, kerana walaupun pasukan mempunyai pemain yang bagus namun jika tahap kecergasan tidak memuaskan, ia akan memberi kesan yang lebih besar kepada pasukan pada setiap perlawanan," katanya.

Menurut Yusri, dalam tempoh pramusim ini juga peminat akan mula melakukan pelbagai penilaian terhadap pemain, terutama mereka hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan persahabatan.

"Peminat boleh menilai prestasi pemain berdasarkan pemerhatian mereka, namun kami akan menilai peningkatan pemain dari semasa ke semasa membabitkan kecergasan, keserasian, kelemahan serta kelebihan pasukan.

"Kami tidak boleh memuaskan hati semua orang, namun persediaan kami juga bergantung kepada kemampuan pasukan sama seperti mendapatkan pemain import, latihan dan perlawanan persahabatan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS