Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Atlet OKU Muhammad Ata maut dalam kebakaran di rumah

Atlet powerlifting Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Ata Maarof maut dalam kebakaran di rumah keluarganya di Taman Pagoh Jaya, dekat Muar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata Muhammad Ata, 28, ditemui rentung dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

"Muhammad Ata yang lumpuh akibat kemalangan lima tahun lepas ditemui rentung seratus peratus," katanya yang dihubungi Bernama, hari ini.

Zaharudin berkata mayat Muhammad Ata kini berada di Hospital Muar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Husaini Eddy Mustafa berkata Muhammad Ata ditemui di dapur rumahnya yang musnah sehingga 60 peratus.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 11.59 pagi tadi dan seramai 18 anggota bomba dari balai Pagoh dan Muar digegaskan ke tempat kejadian dengan dua jentera.

Menurutnya ketika kejadian, dipercayai ibu Muhammad Ata keluar ke kedai manakala atlet itu hanya berseorangan di rumah.

"Kebakaran itu memusnahkan bahagian dapur rumah sebanyak 60 peratus dan mangsa (Muhammad Ata) ditemui di bahagian dapur tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, Muhammad Ata yang dipercayai bekerja di sebuah syarikat pizza di Kuala Lumpur, dikatakan pulang bercuti selama lima hari di rumah keluarganya.

Muhammad Ata pernah meraih pingat gangsa bagi sukan powerlifting pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dua tahun lepas, dengan angkatan 55 kilogram bagi kategori 65 kilogram.

-Bernama

Lihat Komen
ADS