SUKAN

Kafa bernafas lega bakal dapat lesen kelab

Bernama

Diterbitkan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal memiliki lesen kelab dalam masa terdekat bagi melayakkan The Red Warriors (TRW) bersaing dalam Liga Malaysia.

Setiausaha agungnya, Husin Deraman, berkata ia berikutan langkah FAM yang turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi Kafa sebelum ini terutama membabitkan aspek pelesenan.

"Kami boleh menarik nafas lega apabila FAM turun padang membantu menyelesaikan isu lesen yang dihadapi sebelum ini.

"Bantuan dan tujuk ajar oleh sekretariat FAM itu memberikan kelegaan kepada kami dalam memenuhi segala aspek berkaitan isu pemilikan lesen bagi Liga Premier," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggantung lesen kelab pasukan Kelantan susulan beberapa masalah yang perlu diselesaikan.

Antaranya melibatkan hutang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Husin berkata FAM turut membantu Kafa memenuhi syarat Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) dalam pengurusan pasukan.

"Kafa amat berterima kasih atas bantuan serta tunjuk ajar FAM itu dan kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan segala peraturan untuk mendapatkan lesen dipenuhi.

"Jika semuanya berjalan lancar berkemungkinan Kafa akan diberikan lesen dalam masa terdekat," katanya.

Menurut Husin, lesen kelab penting kepada Kafa bagi membolehkan TRW beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini.

"Saya harap para penyokong berdoa agar segala usaha Kafa berjalan lancar," katanya.

- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.