Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei, berharap Kento Momota yang terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi segera pulih dan dapat kembali beraksi di gelanggang.

Menzahirkan rasa sedih atas insiden yang menimpa pemain badminton nombor satu dunia terbabit, Chong Wei berharap atlet Jepun itu diberikan ruang untuk menerima rawatan dan berehat secukupnya.

"Saya ada bercakap dengan beliau dan melihat keadaan dia, saya pun kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan dan dalam perjalanan untuk pulang ke Jepun.

"Saya tahu semua peminat badminton bimbang dengan keadaan ini.

"Mari sama-sama doakan untuk Momota kembali sihat dan beraksi semula di gelanggang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi tadi, Momota dan tiga lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabit dalam pelanggaran selepas merempuh belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pemandu van, B Nageswarau, yang tersepit di tempat duduknya, mati di tempat kejadian.

Chong Wei berkata beliau difahamkan oleh ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong, bahawa Momota perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

Semalam, Momota menjuarai perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020, gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas menewaskan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark pada perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim turut berada di hospital bagi memberi sokongan moral kepada Momota.

- Bernama

Lihat Komen
ADS