Paling Popular
Terkini

LIGA M | Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menepis dakwaan mereka menyisihkan pemain paling senior dalam skuad Terengganu FC (TFC), Mohamad Ashari Samsudin, pada musim ini.

Sebaliknya Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya, ketika dihubungi berkata PBSNT amat menghargai jasa Ashari dan telah menawarkan kontrak baru kepada penyerang sensasi itu pada Nov tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pemain yang mendapat jolokan The Silent Killer itu masih berdiam diri dan belum memberi jawapan pasti sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat skuad penyu yang ternanti-nanti tentang status sebenar pemain terbabit.

"Saya nak terangkan bahawa PBSNT sudah memberi surat tawaran kepada Saha (Ashari) pada Nov lalu sekali dengan pemain lain, tetapi hingga kini beliau senyap sahaja.

"Kami pun tidak tahu sebab apa. Kita sudah beri tempoh kepada tetapi belum ada jawapan terima atau tidak. Kalau nak tahu sebab sebenar kenalah tanya tuan badan," katanya.

Ketiadaan Ashari dalam skuad TFC musim ini mencetuskan polemik dalam kalangan peminat bola sepak Terengganu yang mendakwa dia disisihkan oleh PBSNT dan ditularkan di media sosial.

Sepanjang kariernya, pemain kelahiran Marang itu mencatat pelbagai kejayaan termasuk memenangi anugerah kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol pada 2010.

Selain itu Ashari turut membantu pasukan Terengganu menjulang Piala FA pada 2010 dan membantu negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas menundukkan Indonesia 4-2.

Mengulas lanjut, Shahrizal berkata pihaknya masih membuka pintu kepada pemain itu sekiranya dia masih berminat menyumbang bakti kepada TFC.

"Saha masih ada peluang menyertai TFC sekiranya dia memberi jawaban sebelum tarikh pendaftaran bagi pemain Liga Malaysia ditutup 15 Mac ini," katanya.

Sementara itu Ashari ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan bahawa dia sudah tidak beraksi untuk mana-mana pasukan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS