Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Melaka United cabar Persib Bandung
Diterbitkan:  Jan 23, 2020 12:11 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

United bakal mengadakan perlawanan pramusim bersama kelab Liga Indonesia bermula Selasa depan (28 Jan) hingga 4 Feb ini, bagi meningkatkan keserasian antara pemain, sebagai persediaan mengharungi Liga Super musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li berkata antara kelab yang bakal dihadapi ialah Persib Bandung dan dua kelab lain yang akan dimuktamadkan di negara jiran itu, untuk membolehkan skuad Sang Kancil menguji kekuatan sebelum aksi sebenar.

Beliau berkata, pasukan kendalian Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan yang baharu dibentuk musim ini, dilihat masih memerlukan masa untuk membina persefahaman sebagai satu unit padu, yang mampu mencabar dalam liga yang kompetetif.

"Kita percaya dengan perlawanan pramusim itu, ia merupakan percubaan yang baik untuk bertemu pasukan yang hebat seperti Persib Bandung, sudah pasti ia akan memberi pendedahan kepada para pemain meningkatkan prestasi mereka.

"Seperti dalam perlawanan pertama pramusim, belum nampak apa yang kita mahukan, seperti pemain import, Sony Norde hanya sempat berlatih dua hari, kita masih perlukan keserasian termasuk memperbaiki kekurangan terutama di bahagian tengah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, MUSA menerusi kenyataan hari ini memberitahu menyedari kepentingan pembabitan pemain muda, Melaka United menyenaraikan empat pemain muda dalam skuad Hang Tuah musim ini, yang pernah beraksi bersama skuad pembangunan pasukan itu sebelum ini.

"Empat pemain berkenaan termasuk dua pemain tengah, Shyamierul Razmee Jasmi, 21, Amirul Hamer, 21, serta dua penyerang, Faizal Talib, 22, serta Hazim Abu Zaid, 19.

"Semua mereka pernah beraksi bersama skuad pembangunan Melaka United dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia beberapa tahun lalu dan dilihat berpotensi sebagai pemain utama Melaka United pada masa hadapan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan pendedahan pada usia muda itu dilihat memberi peluang kepada pemain berkenaan menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dengan pemain senior sekali gus mampu menyerlahkan diri sebagai antara pemain yang menyinar musim ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS