Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Skuad terjun negara selamat pulang dari China

Skuad terjun negara yang menjalani latihan di Chengdu, China telah kembali ke tanah air pada pagi Jumaat, ekoran peningkatan jumlah jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) yang bertambah serius di negara tembok besar itu.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chan ketika dihubungi berkata kesemua penerjun dan jurulatih disahkan ‘bebas’ daripada sebarang jangkitan koronavirus.

“Kesemua mereka balik dalam keadaan sihat. Tidak ada demam atau batuk. Mereka telah dihantar ke Institut Sukan Negara (ISN) bermula pagi ini untuk pemeriksaan kesihatan lanjut, dan mereka tidak akan kembali ke China sehingga keadaan di negara itu kembali pulih seperti sedia kala,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata penerjun negara dijaga dengan baik ketika berada di China, di mana langkah-langkah pencegahan dilaksanakan dengan baik, termasuk suhu badan mereka diperiksa setiap hari.

Katanya mereka akan menjalani latihan intensif di tanah air sehingga kejohanan terjun Grand Prix di Rostock, Jerman pada 20-23 Feb dan kejohanan terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada pada 28 Feb hingga 1 Mac.

Pasukan negara terdiri daripada lima penerjun iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold serta dua jurulatih keabngsaan, Li Rui dan Li Teng.

Bagaimanapun juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong masih berada di China itu untuk menjalani latihan bersama bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang di Qinhuangdao.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata Jun Hoong masih belum memuktamadkan tarikh sebenar beliau akan kembali ke Malaysia.

“Jun Hoong masih mahu berada di sana. Dia selesa dengan latihan di sana. Tempat Jun Hoong dengan kawasan terkesan wabak itu jauh, jadi dia tidak terkesan. Bagaimanapun Jun Hoong dan jurulatihnya masih memantau keadaan di sana, dan jika (keadaan) merisaukan, sudah pasti dia akan balik. Buat masa sekarang, dia rasa selesa dan tiada kerisauan untuk Jun Hoong kekal di sana,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Pandelela dan Mun Yee akan kembali ke tanah air untuk memperbaharui visa pada 2 Feb, diikuti Wendy, Kimberly dan Enrique pada 13 Feb, manakala Jun Hoong pula akan balik pada 14 Mac.

Menurut laporan South China Morning Post, angka kematian di China meningkat ke 259 dengan 11,791 kes jangkitan yang disahkan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS