Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Yusri tidak pandang status bintang untuk kesebelasan utama pasukan TRW

Ketua jurulatih pasukan bola sepak Kelantan ‘The Red Warriors’ (TRW) Yusri Che Lah menegaskan tiada pemain 'bintang' yang membarisi pasukan itu bagi mendapat tempat dalam kesebelahan utama pasukan sepanjang saingan Liga Premier musim ini.

Beliau berkata semua pemain mempunyai peluang sama rata untuk membarisi kebelasan utama pasukan sekiranya memberikan aksi terbaik sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang diatur.

"Saya tidak memandang status 'bintang' kerana ia bukan tiket utama kepada pemain itu untuk melayakkan disenarai dalam kesebelasan, sebaliknya perlu berusaha untuk merebut tempat.

"Tiada pemilihan berdasarkan kepada status sama ada bintang, senior atau junior. Apa yang menjadi keutamaan saya ialah kehendak mereka yang tinggi untuk menyumbang kepada pasukan bagi mencapai sasaran ke Liga Super musim depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Musim ini pasukan Kelantan TRW terpaksa beraksi ke saingan Liga Premier apabila disingkirkan daripada Liga Super musim lalu susulan prestasi tidak menentu.

Jurulatih kelahiran Perlis itu berkata para penyokong hari ini bukan mahu melihat nama seseorang pemain tertentu sahaja, namun mereka mahu melihat mutu permainan yang mampu memberikan keputusan kemenangan kepada pasukan.

"Pemain yang merasakan mereka mempunyai nama besar dalam arena bola sepak jangan merasa selesa untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan saya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS