Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini menggantung lesen memandu dan mengenakan denda RM500 ke atas dua lelaki atas kesalahan menduga kelajuan dua kereta mewah pada 17 Jan lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Arif Md Nor, 31, dan rakannya Ahmad Sufian Abdullah, 32, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan.

Kedua mereka didakwa secara bersama-sama berada di atas jalan bagi tujuan menduga kelajuan kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna kuning bernombor pendaftaran AKU 7471 dan F 2239.

Menurut pertuduhan tersebut juga, perbuatan itu yang mana diambil perhatian tentang segala hal keadaan termasuk jenis kenderaan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas adalah berbahaya kepada orang awam.

Kesalahan dilakukan pada 2 pagi, 17 Jan lalu di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor berhampiran Pusat Servis Honda Kubang Kerian di Kota Bharu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah, manakala mereka diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.

Terdahulu, mereka memohon hukuman ringan dan insaf atas kesalahan itu, bagaimanapun Siti Aisyah memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Mereka kemudian menjelaskan denda dan dibebaskan.

- Bernama