Malaysia tidak bercadang untuk membatalkan penyertaan kontinjen negara bertanding pada Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina meskipun temasya dwitahunan itu sah ditangguhkan lagi buat kali kedua berikutan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Megat D Shahriman berkata keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pada mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, setakat ini MPM tetap dengan pendirian untuk menghantar atlet bertanding pada temasya yang memasuki edisi ke-10 itu atas faktor pendedahan serta pengalaman yang akan diraih atlet negara.

“Kalau perlu hantar saiz kontinjen lebih kecil kami akan hantar tetapi semua bergantung pada keputusan mesyuarat akan datang. Tanya mana-mana presiden persatuan di dunia ini, semua mahu hantar atlet masing-masing bertanding demi pendedahan dan pengalaman atlet.

“Selagi ada peruntukan, persatuan yang bersemangat dan keinginan membara atlet, kami tetap akan berpegang teguh dengan pendirian untuk berikan yang terbaik kepada atlet,” katanya pada sidang media khas mengenai perkembangan penundaan itu di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Sukan Para ASEAN 2020 yang sebelum ini dijadual berlangsung antara 18 dan 24 Jan lepas, kali pertama ditangguh kepada 20 hingga 28 Mac berikutan masalah kewangan dan logistik.

Presiden Paralimpik Filipina Michael Barredo mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Sukan Para ASEAN mengenai penangguhan kali kedua itu, di Thailand minggu lepas, lapor agensi berita Vietnam (VNA)

Beliau berkata Filipina berharap dapat mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan acara dapat diadakan pada Mei atau Jun.

Sementara itu, Megat D Shariman berkata menerusi surat diterima MPM daripada lembaga gabenor Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) hari ini, Filipina diminta untuk memaklumkan kepada semua negara mengenai tarikh baharu sekurang-kurangnya 60 hari sebelum penganjuran temasya itu.

-Bernama