Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
KBS sedia beri nasihat, panduan atasi isu Stadium Shah Alam

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sentiasa bersedia memberikan panduan serta nasihat bagi membantu masalah bumbung rosak di Stadium Shah Alam yang dikatakan mengancam keselamatan penonton.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, berkata pihaknya turut terbuka untuk berkongsi perkara itu kepada mana-mana pengelola stadium kerajaan.

“Sudah tentu PSM sebagai badan utama yang menguruskan stadium, kita (KBS) sentiasa bersedia untuk memberikan panduan dan khidmat nasihat kepada pengelola stadium kerajaan, tak kiralah pihak berkuasa tempatan atau kerajaan pusat,” katanya.

Sim berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan forum Improving Work Opportunities for Young People in the Commonwealth (I-Work) National Forum.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak terutamanya berkaitan bumbung bocor, termasuk ekoran serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan tempat duduk penonton.

Laporan Bernama sebelum ini turut menyatakan Selangor berdepan kemungkinan melupakan aksi Liga-M musim ini di Stadium Shah Alam selepas pemeriksaan awal Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapati, stadium itu tidak mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan.

Forum yang disasar untuk menambah baik prospek pekerjaan golongan muda itu dihadiri oleh kalangan pembuat dasar, wakil-wakil kementerian, agensi-agensi berkaitan, para majikan dan juga kumpulan pembiaya.

Sementara itu, Sim berkata Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dapat memacu penyertaan golongan muda dalam program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memandangkan skop pekerjaan kini memerlukan pekerja berkemahiran IR4.0.

"Dalam IR4.0, sebenarnya ia tertumpu kepada pekerjaan yang berasaskan kemahiran dan teknikal; jadi ia bukan hanya teori dan akademik. Dalam aspek ini saya lihat IR4.0 ini mampu memacukan lagi minat dan penyertaan anak muda dalam TVET," jelas beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS