MPM tolak cadangan Filipina anjur APG ketika Hari Raya
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak bersetuju dengan cadangan Filipina, untuk menganjurkan Sukan Para ASEAN (APG) 2020 ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada Mei ini.
Presidennya, Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya menolak cadangan itu, dan sedang berhubung dengan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk menyegerakan mesyuarat badan tersebut, bagi membincangkan tarikh yang sesuai, bersama semua negara bertanding.
Susulan beberapa temasya utama seperti Sukma Para Johor (16-22 Ogos) dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (25 Ogos-6 Sept) akan berlangsung pada suku ketiga tahun ini, beliau berpendapat tarikh sesuai untuk APG ialah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Filipina sebelum ini mencadangkan edisi ke-10 temasya itu diadakan bermula 17 Mei, yang jatuh pada bulan Ramadan, atau 26 Mei, iaitu tiga hari selepas Hari Raya pada 23 Mei.
"Tarikh itu hanya dicadangkan secara lisan dan kami menolaknya secara lisan, serta menerusi aplikasi WhatsApp dan e-mel. Kami sedang cuba sebaik boleh supaya mesyuarat APSF diadakan dengan segera, supaya tarikh baharu dapat dibincangkan secara bersama, terutamanya dalam kalangan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis sepetang bersama penaja di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kuala Lumpur, hari ini.
APG yang pada asalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jan lepas, ditangguh kepada 20-28 Mac berikutan masalah kewangan dan logistik, yang dihadapi penganjur.
Namun, temasya bagi golongan kurang upaya itu terpaksa ditunda buat kali kedua, berikutan penularan COVID-19.
Megat D Shahriman berkata bagi mengekalkan kekuatan mental dan momentum atlet negara, MPM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), telah mengenal pasti beberapa pendekatan ke arah itu.
“Atlet kita telah berada pada mementum terbaik, kemudian jatuh, naik semula dan jatuh. Diharapkan apabila kita menyertai kejohanan, kekuatan mental kita kuat. Kita akan meneruskan latihan seperti biasa, mengadakan simulasi dan menghantar atlet ke kejohanan luar negara, untuk menjaga momentum mereka," katanya.
Terdahulu, Megat D Shahriman menyampaikan geran pembangunan permulaan sebanyak RM2,000 masing-masing kepada 24 persatuan sukan, di bawah MPM untuk menjalankan aktiviti mereka.
Pada majlis sama, MPM menandatangani perjanjian persefahaman bersama Wild Rocket Event Management Sdn Bhd, untuk menganjurkan larian amal 'Go for Gold' sempena Sukan Paralimpik 2020.
-Bernama

