Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll) Roshadi Wahab mewajibkan setiap pemain menjalankan latihan di kediaman masing-masing bagi memastikan tahap kecergasan anak buahnya sentiasa pada tahap terbaik.

Bagi memastikan tiada pemain 'curi tulang', Roshadi berkata video latihan selama dua jam itu juga perlu dihantar setiap hari kepada jurulatih sehingga perintah kawalan pergerakan berakhir dan latihan dapat diteruskan seperti biasa.

Katanya, pengubahsuaian kaedah latihan perlu bagi memastikan momentum berada pada tahap terbaik apabila perlawanan Liga Premier yang terhenti seketika disambung semula.

"Aspek utama yang diberi penekanan dalam latihan adalah berkaitan kelajuan, ketangkasan.

"Mereka perlu menghantar video latihan selama dua jam kepada barisan kejurulatihan setiap hari kecuali hari Jumaat," katanya ketika dihubungi.

-Bernama