Covid-19 tak takutkan kelab Serie A Itali
Walaupun ancaman wabak Covid-19 sudah meragut lebih 4,000 nyawa manusia di Itali, kelab bola sepak Napoli kelihatan tidak goyang dengan keadaan tersebut.
Di sebalik amaran yang diberikan pihak berkuasa sekurang-kurangnya dua kelab Serie A - Cagliari dan Napoli - akan memulakan latihan minggu depan.
Untuk rekod sejak 9 Mac lalu, tiada sebarang acara sukan berlangsung di Itali kerana penularan Covid-19. Pada peringkat awal pengendali Serie A bercadang untuk terus melangsungkan musim baru kali ini dalam stadium tertutup.
Covid-19 setakat hari ini membunuh 4,032 orang dan jumlah itu sudah melebihi korban di China - negara yang menjadi sumber wabak tersebut.
Utara Bergamo dan Lombardy adalah kawasan paling teruk terjejas di Itali.
Presiden Kesatuan Pemain Itali (AIC), Damiano Tommasi berkata keadaan masih lagi berbahaya untuk pemain kembali bekerja dengan arahan perintah berkurung masih berkuat kuasa.
Cagliari akan memulakan latihan dengan membahagikan pemain dalam beberapa kumpulan mulai Isnin ini, manakala Napoli - yang dibimbing Gennaro Gattuso - akan menyusul dua hari kemudian.

“SSC Napoli mengumumkan skuadnya akan menyambung semula latihan di Pusat Teknikal pada pagi Rabu, 25 Mac,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan hari ini.
Lazio juga turut dilaporkan sedang membuat persediaan untuk kembali berlatih minggu depan.
Sebelum ini beberapa pemain Serie A disahkan positif Covid-19, termasuklah dua pemain Juventus, Daniele Rugani dan Blaise Matuidi, lima pemain Sampdoriadan tiga pemain Fiorentina.
Walaupun pandemik itu memberikan kesan kepada Itali, Menteri Sukan Vincenzo Spadafora menyasarkan 3 Mei untuk Serie A kembali berlangsung.
“Serie A akan bermula pada 3 Mei, itu yang kita harapkan. Kemudian, kita akan menilai sama ada ia akan dijalankan dengan cara terbuka atau tertutup,” katanya.

