15 hingga 20 peratus pemain UKM FC dipotong
Kelab Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mengambil pendekatan untuk memotong gaji pemain mereka antara 15 hingga 20 peratus bermula bulan depan sehingga tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata langkah itu telah dimaklumkan kepada pemain skuad 'The Varsity Boys' susulan masalah kewangan dialami pihak pengurusan selepas Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan wabak Covid-19.
Beliau menjelaskan langkah berkenaan terpaksa diambil selepas pihak penaja turut terjejas susulan PKP yang mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas dan dipanjangkan sehingga 14 April ini.
“Gaji pemain untuk bulan Mac telah dilangsaikan dan bagi bulan April, kami telah beritahu langkah pemotongan terpaksa diambil, rata-rata pemain menerima keadaan ini memandangkan liga masih ditangguhkan.
“Hanya maksimum 20 peratus pemotongan gaji kami akan kenakan dan 15 peratus pula kepada pemain-pemain yang bergaji rendah, langkah ini akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir dan tertakluk kepada perbincangan kedua-dua pihak," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada pemain pasukan berkenaan yang bersetuju dengan pemotongan gaji itu demi kelangsungan pasukan dalam kancah bola sepak tempatan.
Dalam pada itu, kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad berkata pemain bersetuju dengan pemotongan gaji berkenaan demi kebaikan pasukan terutama dalam mengharungi situasi sukar ketika ini susulan penularan Covid-19.
“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji tersebut, dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini bagi menghadapi wabak Covid-19," jelas pemain berusia 27 tahun itu.
Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pemotongan gaji 33 peratus ke atas pemain, jurulatih dan kakitangannya, selain pemain turut bersetuju untuk mendermakan sebahagian daripada gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu masyarakat ketika berdepan situasi mencabar akibat wabak Covid-19.
-Bernama

