Tarikh baru Sukan Paralimpik bukti penyatuan sifat kemanusian - MPM
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berpendapat penetapan tarikh baru Sukan Paralimpik Tokyo kepada 24 Ogos hingga 5 Sept 2021, merupakan satu keputusan bijak sekali gus mempamerkan penyatuan sifat kemanusiaan dan semangat kesukanan yang tinggi.
Setiausaha Agung MPM, R. Subramaniam berkata MPM memberi sokongan penuh kepada keputusan yang dicapai antara Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 itu.
“MPM sedia bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memperinci atlet yang mempunyai potensi untuk dihantar ke kejohanan kelayakan bagi membolehkan lebih ramai atlet negara beraksi di Tokyo 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
IOC sebelum ini mengesahkan bahawa semua atlet yang sudah layak dan kuota tempat yang disediakan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah kekal tidak berubah.
Beliau berkata peluang masih terbuka buat atlet yang belum layak membuat persiapan sewajarnya untuk memburu tempat ke Sukan Paralimpik pada tahun 2021.
“Kami sedang menyasarkan lima lagi acara sukan untuk menjadikan keseluruhannya sembilan acara disertai Malaysia daripada 23 acara sukan di Sukan Paralimpik akan datang khususnya acara powerlifting, badminton, boccia, ping pong dan tenis berkerusi roda.
“Ia bagi meningkatkan jumlah pengesahan penyertaan sedia ada Malaysia iaitu empat atlet daripada acara olahraga, renang (2), memanah (2) dan lumba basikal (2). Kesemua mereka diberi jaminan oleh IOC yang mengekalkan kuota bagi atlet yang sudah layak,” katanya.
Penganjuran Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 terpaksa ditunda selama setahun susulan pandemik Covid-19 yang merupakan ancaman global masa kini.
Beberapa temasya dan kejohanan utama seperti Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, juga dijangka berdepan rombakan tarikh susulan daripada penangguhan Sukan Paralimpik Tokyo.
-Bernama

