Kelab Barcelona nak saman bekas timbalan presiden sendiri
Barcelona FC akan menyaman bekas timbalan presidennya, Emili Rousaud, yang membuat tuduhan berlaku amalan pecah amanah dalam pengurusan kelab bola sepak terkemuka itu pada 13 April.
Ahli-ahli lembaga pengarah kelab itu menafikan berlakunya sebarang tindakan yang boleh dikaitkan dengan isu pecah amanah.
“Ahli lembaga pengarah menafikan sebarang tindakan yang boleh digambarkan sebagai pecah amanah dan bersetuju akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” jelas Barcelona dalam satu kenyataan.
Enam ahli lembaga pengarah termasuk Rousaud meletakkan jawatan dengan alasan seseorang dalam kelab itu telah melakukan penyelewengan.
Rousaud mendedahkan kontroversi kelab itu pada Februari lalu ketika Barcelona dituduh mengupah syarikat dikenali sebagai I3 Ventures untuk mencemarkan nama beberapa pihak melalui kaedah dalam talian.
Antara individu yang didakwa menjadi sasaran ialah pemain seperti Lionel Messi dan Gerard Pique.
“Jika pihak audit memberitahu kos untuk khidmat ini adalah €100,000 dan kami membayar €1 juta, maknanya ada seseorang telah ‘menyelukkan’ tangan mereka dalam bil itu.
“Saya tiada bukti dan saya tidak boleh beritahu siapa,” jelasnya ketika ditemu bual oleh stesen radio, Cadena Ser.
Terdahulu, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menamatkan kontrak kelab itu dengan I3 Ventures pada Februari 2020.
Beliau menafikan tuduhan Roussaud dan berkata syarikat tersebut diupah hanya untuk memantau hantaran di media sosial.
Sementara itu, Bartomeu menjelaskan satu siasatan audit dalaman akan dijalankan kepada syarikat itu untuk mengesan sebarang penyalahgunaan kuasa.

