ASTAF anjur kursus dalam talian kepada 75 pegawai sepak takraw seluruh Asia
Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) akan melaksanakan Kursus Kejurulatihan Bertauliah ASTAF Tahap 1 (Teori) secara dalam talian kepada 75 pegawai sepak takraw di seluruh Asia.
Menurut kenyataan ASTAF, kursus dalam talian melalui aplikasi sidang video Zoom dari Singapura itu akan dirasmikan oleh ahli Parlimen Bishan-Toa Payoh, Singapura, Saktiandi Supaat pada pukul 11 pagi, esok (18 Mei).
Presiden ASTAF Abdul Halim Kader berkata kursus dalam talian itu akan merangkumi topik keselamatan, biomekanik, bimbingan profesional, kepemimpinan dan pengurusan atlet.
"Kandungan kursus yang pertama kali dilakukan secara dalam talian ini adalah untuk melengkapkan para jurulatih dengan standard yang membolehkan mereka berfungsi dengan penuh keyakinan dan berintegriti.
"ASTAF memahami keperluan mendesak jurulatih untuk terus memberikan nilai terbaik kepada atlet. Kami telah merancang Kursus Persijilan selama tujuh hari secara menyeluruh supaya lebih awal jurulatih diberikan perspektif yang lebih luas, lebih awal mereka dapat memindahkan pengetahuan dan menerapkannya kepada atlet mereka," katanya.
Abdul Halim berkata, ASTAF menaja kursus dalam talian yang akan diadakan pada 18 hingga 29 Mei itu dengan nilai SGD50,000 (RM152,255).
"Kami sangat terkejut, walaupun semasa penularan Covid-19, ASTAF berjaya menarik sejumlah pegawai sepak takraw untuk mengikuti kursus ini secara langsung dari Singapura dengan pembimbing dari Singapura, Thailand dan Filipina," katanya.
-Bernama

