Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KAFA tarik nafas lega Cassio sedia runding isu tunggakan gaji

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menarik nafas lega apabila bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus sedia berunding mengenai tunggakan gajinya dengan persatuan itu dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata kesediaan pemain itu adalah perkembangan terbaru dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu kedua-dua pihak.

"Kami akan memanfaatkan tempoh masa yang ada ini untuk sama-sama mencari jalan mencapai kata sepakat dalam isu itu.

"Peguam Cassio, Zhafri Aminurashid mahu rundingan terbabit dilakukan secara mediasi mengikut lunas undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi memastikan hak pemain itu terjaga dan tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KAFA dilaporkan mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM629,620.28 dengan pemain kelahiran Brazil itu dan berdepan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ahmad Muzakkir berkata rayuan KAFA akan terbatal secara automatik selepas mediasi dilakukan dan CAS akan memberi perintah persetujuan ke atas persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata KAFA akan mengadakan mesyuarat pada 10 Jun depan bagi membincangkan hala tuju perjalanan persatuan yang berdepan kemelut kewangan.


-Bernama

Lihat Komen
ADS