Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) perlu segera mengadakan mesyuarat majlisnya secepat mungkin untuk menyelesaikan konflik pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur, kata timbalan presidennya, I.Vikneswaran.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata mesyuarat majlis penting untuk membincangkan masalah yang dihadapi supaya penyelesaian dapat dicapai selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan PHKL mengosongkan stadium itu serta-merta.

“Mesyuarat terakhir diadakan adalah pada November 2019. Saya dan beberapa ahli majlis tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana tidak disampaikan kepada kami. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh persatuan, mestilah dipersetujui oleh ahli majlis (PHKL) sebagai barisan kepimpinan yang diundi.

“PHKL ini persatuan yang mewakilli semua ahli gabungan dan komuniti hoki di Kuala Lumpur, bukannya milik perseorangan. Semua keputusan patut diambil secara kolektif untuk kepentingan bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata sebagai seorang pemain dan jurulatih, keutamaannya adalah untuk perkembangan hoki, dan tidak mahu politik dalaman dan luaran PHKL membantutkan pembangunan sukan hoki negara, khususnya di Lembah Klang.

“Saya rasa PHKL sangat bertuah kerana satu-satunya persatuan hoki negeri di negara ini yang dibenarkan menguruskan stadium sejak 1998 oleh DBKL. Jadi kita bertanggungjawab untuk menguruskannya dengan baik,” katanya.

DBKL baru-baru ini, mengeluarkan notis kepada PHKL untuk mengosongkan pejabat mereka di stadium yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu dengan serta-merta susulan kegagalan menguruskan venue itu dengan baik, selain bil utiliti tidak dibayar.

Presiden PHKL, Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa isu pemilikan pengurusan itu berlarutan sejak beberapa tahun dan beliau telah berusaha menyelesaikannya sebaik sahaja beliau mengambil alih kepimpinan persatuan itu pada Julai tahun lepas.

DBKL menerusi kenyataan semalam berkata pihaknya terpaksa mengeluarkan notis pengosongan kerana PHKL tidak memberi sebarang maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan bagi surat peringatan bertarikh 14 Nov 2019.

DBKL berkata perjanjian pertama dibuat selama 15 tahun bermula 1998 hingga 2013, dan PHKL dibantu dengan diberikan yuran pengurusan oleh DBKL sebanyak RM10,000 sebulan bagi melaksanakan semua pengurusan dalam tempoh itu.

Perjanjian kedua dimeterai untuk pelanjutan tempoh lima tahun dari 1 Sept 2013 hingga 31 Ogos 2018 dengan bantuan yuran pengurusan oleh DBKL sebanyak RM19,000 sebulan, manakala lanjutan seterusnya ditawarkan pada April 2019 untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mei 2019 hingga 30 April 2022 dengan kadar yuran pengurusan dikekalkan.

“Bagaimanapun, DBKL mendapati pihak persatuan gagal untuk melaksanakan perkara berikut, iaitu mengemukakan bayaran bon pelaksanaan berjumlah RM34,000; dan polisi Insuran Kerja dan Tanggungan Awam,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, DBKL berkata pihaknya mengeluarkan surat penarikan balik tawaran pengurusan serta-merta kepada PHKL dan mahukan mereka menyerahkan semula pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur kepada DBKL kerana kegagalan untuk mematuhi kesemua pra-syarat awalan seperti ditetapkan.

“Hasil penemuan audit, DBKL juga mengeluarkan satu surat permohonan untuk pemulangan bayaran bagi pembayaran yuran pengurusan kepada PHKL untuk tempoh September 2018.

“Sepanjang tempoh proses perjanjian ini DBKL menjelaskan semua bayaran utiliti (TNB dan Syabas) bagi mengelakkan tunggakan dan kesulitan yang akan dihadapi bagi penggunaan di Stadium Hoki Kuala Lumpur yang mana sepatutnya diuruskan oleh PHKL,” kata DBKL.

-Bernama