Ketika rundingan untuk menentukan kedudukannya bersama Barcelona sudah dihentikan, keberadaan Lionel Messi di La Liga dianggap tetap penting.

Sekurang-kurangnya begitu yang dirasakan legenda bola sepak dunia, Zinedine Zindane.

Kata Zidane, langkah terbaik untuk Messi sekali pun dia mahu meninggalkan Barcelona ialah kekal berada di Sepanyol.

"Saya tak tahu apa akan berlaku tetapi kita berharap bukan kerana ini dan kita mahu yang terbaik buat La Liga," katanya seperti dipetik portal berita France 24.

Terdahulu Zidane yang juga kini mengendalikan kelab Real Madrid ditanya pandangannya mengenai kedudukan Messi yang menunjukkan kecenderungan mahu meninggalkan Barcelona.

Ketika ini Real Madrid berada di kedudukan teratas La Liga dengan 74 mata daripada 33 perlawanan. Barca pula berada di tempat kedua dengan kekurangan empat mata.

Pada Feb lalu Messi, 33, berkata, dia yakin Barca - yang kini dikendalikan oleh Quique Setien - tidak mampu memenangi kejuaraan Liga Juara-juara dengan prestasi yang ada sekarang.

Media juga melaporkan Messi tidak sehaluan dengan anggota lembaga Barca dan menunjukkan pertembungan itu secara umum selepas pengarah sukan kelab itu, Eric Abidal, menyalahkan pemain kerana penyingkiran pengurus terdahulu mereka, Ernesto Valverde, pada Jan lalu.

Pada April pula Messi mengkritik pegawai tertinggi kelabnya kerana mahu memotong gaji pemain bagi menyesuaikan keadaan kewangan mereka akibat kesan wabak koronavirus.

Kontrak Messi bersama Barca sepatutnya berakhir tahun depan.