Sukan kontak dibenarkan secara berperingkat
Setelah mempertimbangkan rayuan daripada persatuan sukan berkontak termasuk bola sepak, kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti tersebut bermula secara berperingkat.
Bagaimanapun, menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, ia hanya akan bermula selepas prosedur operasi standard (SOP) mengenainya dimuktamadkan minggu depan.
“Kerajaan membenarkan latihan dan aktiviti sukan serta rekreasi yang tidak ada sentuhan badan secara individu dan bukan berpasukan bermula 15 Jun 2020.
"Kerajaan mendengar rayuan serta keluhan daripada pengusaha-pengusaha sukan berkontak termasuk persatuan bola sepak bagi pembukaan semula aktiviti sukan berkontak.
"Minggu depan, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengenai cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur,” katanya.
Ismail Sabri menambah Reezal akan membentangkan cadangan penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bagi pertimbangan mesyuarat berkenaan.
“Keputusan untuk membenarkan aktiviti sukan berkontak bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Perintah wajib kuarantin rumah
Sementara itu menteri kanan terbabit turut menasihati pengundi di Chini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari pengundian esok dengan mematuhi arahan perintah kawalan pemulihan (PKPP) seperti penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka.
Mengulas pertanyaan, Ismail turut menjelaskan bahawa tiada tindakan yang menentang warga emas untuk keluar, hanya disarankan supaya berhati-hati kerana berada dalam kalangan pihak yang berisiko tinggi untuk wabak Covid-19.
Ismail juga memberitahu dua individu direman manakala 14 lagi dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKPP semalam.
Tambahnya, seramai 1,215 pendatang asing tanpa izin dan 215 tekong ditahan menerusi Ops Benteng - yang dijalankan sejak 1 Mei sehingga semalam - kerana cubaan memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus.
Jelas Ismail lagi, pada 2 Julai lalu, seramai 572 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL, (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, UAE, Singapura, Qatar, Belanda, Jepun, Korea Selatan dan China.
“Daripada jumlah ini, 569 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala tiga individu lagi telah dibawa ke hospital,” katanya.

