Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Tan Kang Yong dipilih sebagai Presiden baharu persatuan berkenaan bagi penggal 2020-2024.

Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Maba sejak 2016, menang tanpa bertanding setelah penyandang Presiden, Datuk Lua Choon Hann mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Maba yang diadakan di Wisma Maba, di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Ooi Khoon Yeong pula dipilih sebagai Timbalan Presiden Maba yang baharu menerusi undian yang diputuskan oleh perwakilan daripada 18 ahli gabungan Maba.

Bercakap pada sidang media, Tan berterima kasih kepada perwakilan negeri dan kelab yang memberi sokongan kepada beliau bagi menerajui Maba bagi tempoh empat tahun.

Tan yang merupakan Presiden Persatuan Bola Keranjang Melaka memaklumkan tugas utama kepimpinan baharu Maba adalah untuk membantu meningkatkan kembali prestasi skuad bola keranjang kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar pada beberapa edisi Sukan SEA lepas.

“Fokus kami adalah membantu skuad wanita 3x3 dan 5x5 mendapatkan kembali pingat emas yang pernah diraih pada Sukan SEA sebelum ini.

“Pencapaian skuad bola keranjang (lelaki) negara agak merosot sejak dua tahun ini, sebab itu saya dan kepimpinan baharu Maba bertekad untuk meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa,” jelas Tan.

Beliau memaklumkan keputusan berhubung penganjuran kejohanan tempatan pada tahun ini termasuk edisi ke-62 Piala Agong yang sebelum ini dijadual pada awal tahun, akan dibincangkan dengan kepimpinan Maba.

Saingan Piala Agong yang diadakan sejak 1958 terpaksa dibatalkan pada tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19.

Senarai penuh kepimpinan Maba penggal 2020-2024:

Presiden: Datuk Tan Kang Yong

Timbalan Presiden: Ooi Khoon Yeong

Naib Presiden: Lee Yuen Fong, Lee Cheng Chuan, Lim Chong Ly, Poh Thiam Kar, Phan Chee Yong, Leong Nyuk On, Bruce Lim Cheng Nyok, Andrew Heng

Setiausaha Agung: Tong See Koou

Timbalan Setiausaha Agung: Prof Dr Teng Tjoon Tow

Pembantu Setiausaha: Ng Choon Koon

Bendahari Kehormat: Victor Chen Wee Tuck

Timbalan Bendahari Kehormat: Ooi Siong Hwa

-Bernama