Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bekas jurulatih terjun negara bebas tuduhan rogol
Diterbitkan:  Jul 24, 2020 6:05 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Bekas jurulatih terjun kebangsaan, Huang Qiang kekal bebas daripada pertuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuannya terhadap pembebasan lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan berhubung penarikan rayuan itu, hari ini.

Beliau berkata pihak pendakwaan memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 2 Julai lepas.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mempengerusikan panel tersebut, kemudian membatalkan rayuan tersebut.

Dua lagi anggota panel hakim pada hari ini adalah Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Huang, 38, yang berasal dari China, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol seorang penerjun kebangsaan yang ketika itu berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara di Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 Sept 2017.

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Huang tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 31 Okt 2018, Mahkamah Tinggi mengarahkan Huang membela diri selepas membenarkan rayuan daripada pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskannya.

Huang kemudian dibebaskan buat kali kedua pada 31 Jan tahun lepas selepas dia berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan namun, pihak pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

Pada 20 Feb tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Huang dan lelaki itu dibebaskan buat kali ketiga.

Huang diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS