Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pelumba Petronas Yamaha SRT pamer aksi cemerlang di Litar Brno

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli, mempamerkan prestasi luar biasa selepas berada di dua kedudukan teratas dalam dua sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, Jumaat.

Quartararo, yang selesa di tangga teratas Kejuaraan MotoGP Dunia dengan 50 mata selepas memenangi dua perlumbaan berturut-turut di Sepanyol bulan lepas, mencatat masa 1 minit 56.502 saat (s) dan diikuti rapat oleh Morbidelli, yang ketinggalan hanya 0.007 saat.

Pelumba Portugal, Miguel Oliveira daripada Red Bull KTM Tech 3 di tempat ketiga dengan 1:56.55s.

"Pada akhir sesi kedua, saya berusaha mencari cara menunggang yang berbeza untuk mencari keselesaan terhadap penggunaan tayar dan berjaya melakukannya dan kami muncul sebagai terpantas," kata Quartararo dalam kenyataan dikeluarkan pasukan itu.

"Sekarang kita perlu memikirkan cara bagaimana kita dapat memperbaikinya lagi, memeriksa data dan memastikan bahawa kita bersedia untuk sesi kelayakan esok dan seterusnya perlumbaan pada Ahad ini," tambah pelumba berusia 21 tahun dari Perancis itu.

MorbidellI juga berasa gembira selepas mencatat masa yang lebih baik dengan menggunakan jenis tayar yang tepat semasa dua sesi latihan bebas itu.

"Ada beberapa hal yang perlu kita fahami, terutama jenis tayar mana yang akan digunakan dalam perlumbaan, kerana keadaan trek sentiasa berubah, ia tidak memberi gambaran jelas apa pilihan terbaik ketika ini," katanya.

"Saya amat gembira dengan prestasi hari pertama di sini dan saya akan membantu pasukan malam ini untuk memastikan prestasi terbaik sekali lagi esok," kata pelumba berusia 25 tahun dari Itali itu, yang masih berusaha untuk mencipta kejayaan musim ini.

Kedua-dua pelumba itu akan meneruskan dengan dua sesi latihan bebas dan seterusnya sesi kelayakan hari ini untuk menentukan kedudukan grid.

-Bernama

Lihat Komen
ADS