Dua individu dalam pasukan Atletico Madrid positif Covid-19
Diterbitkan: Aug 10, 2020 11:05 AM
Kelab bola sepak Atletico Madrid mengesahkan dua individu yang dijadual berlepas ke Lisbon pada Isnin didapati Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.
Kelab berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada individu itu membabitkan pemain atau kakitangan teknikal.
Rombongan itu akan berlepas ke Lisbon untuk menyertai saingan suku akhir Liga Juara-Juara bagi menentang kelab Jerman, RB Leipzig, pada 13 Ogos.
Mereka disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) pada Sabtu.
Hasil ujian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan Sepanyol dan Portugis, UEFA, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Persekutuan Portugis dan Jawatankuasa Sukan Sepanyol.
- Bernama

