Malaysiakini
SUKAN

KAFA dapat maklum balas positif daripada pakar pelaburan

Bernama

Diterbitkan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendapat maklum balas positif daripada pakar pelaburan Norizam Tukiman, yang menyatakan kesediaan beliau menyelamatkan The Red Warriors, hasil pertemuan persatuan terbabit dengan individu itu di Kuala Lumpur semalam.

Naib Presiden KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata, sepanjang pertemuan itu Norizam menunjukkan kesungguhan yang tinggi, untuk menyelamatkan masa depan pasukan itu.

“Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti secara mendalam, selain kami tidak boleh mengeluarkan kenyataan lanjut sebelum keputusan terakhir dibuat.

“Kami minta penyokong memberikan sokongan dan doa, kepada usaha persatuan untuk membawa khabar gembira kepada bola sepak Kelantan, persatuan dan pasukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, muncul sebagai individu terbaharu berminat membeli pasukan bola sepak Kelantan, namun meletakkan lima syarat untuk dipenuhi KAFA sebelum memulakan rundingan.

Antara syarat itu adalah KAFA perlu menunjukkan akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).

Ahmad Muzakkir berkata, KAFA akan terus bekerja keras bagi memastikan The Red Warriors tidak terkubur, daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa hadapan.

“Bola sepak sukan paling berpengaruh di Kelantan dan telah menjadi hiburan tradisi rakyat negeri ini, yang perlu dipertahankan,” katanya.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.