Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Aliff Syukri dipelawa berunding dengan Lang Merah
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 8:41 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempelawa pengasas syarikat kosmetik terkenal, D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman untuk mengadakan rundingan berhubung hasrat beliau yang ingin bersama pasukan Lang Merah itu.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya sangat mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk hartawan atau jutawan untuk datang dan berunding dengan KFA, sama ada menjadi penaja atau terus memiliki pasukan berkenaan.

“Kenalah runding terus dengan KFA, tidak boleh bubuh (beri kenyataan) dalam surat khabar sahaja, kita alu-alukan dia (Aliff Syukri) datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Aliff Syukri hari ini yang mengakui masih berminat untuk bersama pasukan Kedah, namun kali ini bukan lagi sebagai penaja, tetapi bersedia untuk membeli skuad itu, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Hijau Kuning, sepertimana syarat penswastaan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

Aliff Syukri dilaporkan berkata walaupun kecewa setelah gagal menaja pasukan Kedah pada 2016, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak tempatan dan sentiasa menanti peluang untuk terbabit secara aktif.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi, yang juga Menteri Besar, berkata pihaknya juga sudah mengadakan rundingan dengan sebuah koperasi yang juga berhasrat untuk memiliki pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak itu.

“Apabila pasukan bola sepak ini perlu tubuhkan syarikat sendirian berhad iaitu FC (football club), kita terima banyak cadangan dan koperasi anak Kedah ini kemukakan satu tawaran yang pada pandangan saya amat baik.

“...iaitu mengendalikan sebuah FC sendirian berhad ini melalui milikan bersama sebuah koperasi yang melibatkan beratus ribu ahli dengan peminat-peminat akan didaftar sebagai ahli koperasi,” katanya.

Beliau berkata peminat yang berdaftar dengan koperasi itu akan dikenakan sedikit sumbangan keahlian yang sebahagiannya akan digunakan untuk menguruskan Kedah FC.

Muhammad Sanusi, bagaimanapun, berkata, KFA masih membuka peluang kepada semua pihak untuk mengadakan rundingan dan akan mengikut nasihat FAM supaya berhati-hati dengan setiap tawaran yang diterima oleh pasukan bola sepak negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS