Malaysiakini
SUKAN

Tujuh termasuk enam pemain Liga Juara-Juara AFC positif Covid-19

Diterbitkan

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan sehingga kini, tujuh termasuk enam pemain Kejohanan Liga Juara-Juara AFC, Zon Barat musim ini telah diuji positif COVID-19.

AFC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan, kesemua mereka didapati positif dalam ujian saringan yang dilakukan pihak berkuasa perubatan Qatar, semasa tiba untuk perlawanan peringkat kumpulan di Doha.

Mereka adalah lima pemain dan seorang anggota pengurusan pasukan juara bertahan Al Hilal Club, Arab Saudi dan seorang lagi merupakan pemain dari pasukan Qatar, Al Duhail.

“Semua keperluan perubatan dan sokongan yang bersesuaian telah diberikan kepada kedua-dua pasukan dan mereka yang diuji positif berada di bawah pengawasan perubatan dalam lingkungan kuarantin seperti yang ditetapkan sebagai protokol dan langkah-langkah keselamatan COVID-19 untuk kejohanan ini,” menurut AFC.

Setelah beberapa bulan ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, pertandingan kelab terbaik Asia dijadualkan berlangsung pada Isnin, di mana AFC sebelumnya menyatakan ia akan berlangsung di bawah peraturan kesihatan yang ketat, untuk melindungi pemain dan pegawai dari wabak tersebut.

Perlawanan Zon Timur, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah dijadualkan berlangsung dari 15 Nov hingga 13 Dis, diikuti perlawanan akhir di Zon Barat pada 19 Dis untuk menentukan wakil Asia ke Piala Dunia Kelab FIFA.

AFC pada Khamis lepas mengumumkan pembatalan pertandingan peringkat kedua Piala AFC, Piala Solidariti AFC dan Kejohanan Kelab Futsal AFC Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2020, manakala kejohanan AFC Bawah 16 Tahun (B-16) dan AFC Bawah 19 Tahun (B-19), yang dijadualkan berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan pada Oktober, ditunda ke awal 2021.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.