Pemilik baru The Red Warriors lunaskan hutang lapuk Kafa
Pemilik skuad The Red Warriors (TRW) Norizam Tukiman melunaskan hutang lapuk yang ditanggung pasukan bola sepak itu selepas mengambil alih daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) awal September lalu.
Norizam berkata sejumlah RM3.6 juta dibelanjakan bagi melunaskan hutang lapuk berkenaan dan RM2.4 juta daripadanya dibayar secara penuh kepada 15 bekas pemain dan pegawai pasukan itu.
"Bayaran tersebut membabitkan 15 bekas pemain dan pegawai yang pernah menabur bakti bersama TRW bermula dari musim 2017, 2018 dan 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norizam berkata pemain yang terlibat mendapat bayaran itu adalah Khairul Fahmi Che Mat, Branden Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L Imam, Mohd Farish Shah Rosli, Mohd Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Nor Farhan Mohamad.
"Barisan pegawai pula merangkumi Sathit Bensoh, Mohd Hisham Jainuddin, Mohd Hashim Mustapa dan Yusri Che Lah yang kini masih menjadi ketua jurulatih pasukan Kelantan.
"Bagaimanapun, hutang melibatkan beberapa lagi pemain dan pegawai akan diselesaikan secara berjadual dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak terlibat," katanya.
Norizam berkata pihaknya juga melunaskan bayaran tunggakan gaji antara lima hingga enam bulan membabitkan barisan pemain yang sedang beraksi bersama Kelantan bagi musim 2020.
"Kesemua jumlah RM3.6 juta itu turut merangkumi bayaran perbelanjaan pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia selepas ini," jelasnya serta berharap agar TRW dapat diberikan lesen untuk beraksi pada saingan tahun hadapan.
Menurutnya lagi, dia juga dimaklumkan pemain pasukan Piala Presiden dan Belia turut berdepan dengan isu tunggakan gaji namun perlu memberikan keutamaan kepada pasukan TRW terlebih dahulu.
"Saya tetap akan ambil berat dan akan pertimbangkan juga untuk bayar gaji pemain Presiden dan Belia dengan merujuk perkara itu kepada Kafa," katanya.
- Bernama

