Kekalahan teruk jadi pengajaran buat pemain Selangor II
Ketua Jurularih Selangor II Micheal Feichtenbeiner menyifatkan kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDTI) dalam perlawanan Liga Premier malam tadi, menjadi pengajaran kepada anak buahnya memperbaiki prestasi mereka untuk perlawanan akan datang.
Jurulatih 60 tahun berasal di Jerman itu berkata, pemain mudanya gagal untuk bermain dengan baik pada padang yang becak akibat hujan lebat yang turun sebelum perlawanan bermula.
“Pada 30 minit yang pertama, mereka melakukan kesilapan mudah dan pihak lawan menggunakan peluang ini untuk menjaringkan gol.
“Pada separuh masa kedua, kami cuba untuk kembali, namun gol keempat JDTII, telah membunuh terus peluang kami untuk mengurangkan jarak defisit,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi, di Petaling Jaya.
Penyerang Selangor II Ahmad Danial Ahmad Asri, yang mempunyai pandangan yang sama, mengakui rakan sepasukan, gagal mengekang asakan bertali arus JDT II yang menggunakan kelebihan padang becak, untuk meraih jaringan besar.
Bagi saya, kedua-dua pasukan memberikan saingan sengit, tetapi kesilapan mudah daripada pihak kami, memberi peluang kepada pasukan pelawat untuk meraih jaringan besar.
“Kebanyakan pemain JDT II dibarisi mereka yang berpengalaman, berbanding pasukan kami yang dibarisi ramai pemain muda, dan kami perlu belajar lebih banyak perkara untuk perlawanan selepas ini,” jelas pemain berusia 19 tahun itu.
Pada perlawanan itu, JDT II meraih enam gol masing-masing menerusi Nicolas Fernandez pada minit ke-21 dan 33, Fernando Rodriguez (minit ke-25 dan 49), Che Rashid Che Halim (minit ke-69) dan Muhammad Syazwan Andik pada minit ke-71.
Sementara gol sagu hati Selangor II dijaringkan Ahmad Danial Ahmad Asri, pada minit ke-57.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan JDT II naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga carta Liga Premier dengan kutipan 14 mata, manakala Selangor II berada pada tangga kelima, setelah mengumpul 10 mata selepas lapan perlawanan.
-Bernama

