Paling Popular
Terkini

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini menamatkan kontrak B. Sathianathan, selaku ketua jurulatih selepas skuad Gergasi Merah itu hanya meraih satu kemenangan sejak saingan Liga Super kembali bersambung, Ogos lepas.

Penamatan kontrak pengendali berusia 62 tahun itu berlaku kurang daripada 48 jam, selepas Selangor tewas 1-6 kepada pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lepas.

Perkembangan itu disahkan Sathianathan selepas satu pertemuan pagi tadi, bersama kepimpinan tertinggi FAS antaranya, Presidennya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Timbalan Presiden, Shahril Mokhtar.

“Saya dipecat. Saya jangkakan perkara ini dan sudah nampak tanda-tandanya sebelum ini. Apabila anda dipecat, anda perlu terima,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Selangor mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan, dalam empat aksi Liga Super yang bermula hujung Ogos lepas, setelah saingan tertangguh hampir lima bulan susulan penularan pandemik Covid-19.

Keputusan itu menyaksikan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu, hanya empat mata dipisahkan daripada zon penyingkiran di kedudukan ketujuh liga dengan 10 mata.

Beliau yang memiliki kontrak sehingga akhir musim ini mengakui, sedikit terkilan apabila tidak dapat menyempurnakan tugasannya sehingga saingan berakhir.

“Musim belum berakhir, kita masih ada Piala Malaysia selepas ini, apa-apa boleh berlaku. Saya percaya dengan baki tiga perlawanan Liga Super mudah buat Selangor untuk menang kesemuanya, dan tamatkan saingan liga di kedudukan kedua atau ketiga.

“Saya harap Selangor mencapai matlamat itu bersama jurulatih baharu. Saya tahu barisan pemain sedia ada cukup baik untuk Selangor,” katanya.

Sathianathan yang merupakan bekas jurulatih skuad kebangsaan, mengharungi dua musim bersama Selangor selepas dilantik sebagai pengendali skuad Gergasi Merah, pada November 2018.

-Bernama

Lihat Komen
ADS