Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, didapati positif Covid-19 pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.

Berita mengenainya muncul sehari selepas rakan sepasukan Ibrahimovic, Leo Duarte, yang juga pemain pertahanan antarabangsa Brazil, juga diuji positif.

Berikutan itu AC Milan terpaksa beraksi tanpa kelibat dua bintang yang memperoleh gaji paling tinggi di kelab berkenaan.

Kontrak terbaru Ibrahimovic - dilaporkan bernilai €7 juta (RM34.05 juta) - ditandatangangi AC Milan untuk membawanya kembali beraksi dengan kelab berkenaan.

Duarte diuji positif selepas menjalani saringan Covid-19 pada Selasa. Menurut peraturan Serie A, pemain yang didapati positif secara automatik perlu melakukan ujian kali kedua.

Dalam catatan media sosial, Ibrahimovic mengatakan dia tidak menunjukkan gejala dan berjanji untuk memastikan dirinya cepat sembuh.

Dalam satu kenyataan, AC Milan pula berkata pihak berkuasa kesihatan Itali mengarahkan Ibrahimovic dan Duarte menjalani kuarantin di rumah.

Hasil ujian semua pemain dan pegawai lain yang turut menjalani saringan didapati negatif.

- Bernama