Ivan, Wee Wern mara ke final Kejohanan Skuasy Kebangsaan
Juara bertahan, Ivan Yuen dan Low Wee Wern, masing-masing mara ke final divisyen perdana lelaki dan wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan Ohana ke-36, esok.
Ivan, pemain pilihan utama kejohanan dan juara tiga kali divisyen perdana lelaki sejak 2017, mara ke final selepas mengalahkan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dengan “straight set” 12-10, 11-3 dan 11-9 dalam pertarungan 50 minit perlawanan separuh akhir di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, hari ini.
Dalam perlawanan akhir esok, pemain berusia 30 tahun dari Pulau Pinang itu akan bertemu Muhammad Syafiq Kamal yang terpaksa bekerja keras untuk mengalahkan Darren Rahul Pragasm dengan 11-9, 6-11, 11-3, 10-12 dan 11-8 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
"Saya tidak boleh katakan ada kelebihan untuk saya tetapi dia (Muhammad Syafiq) pasti sudah bersedia untuk perlawanan esok. Sukar nak cakap mengenai keputusan perlawanan itu," kata Ivan kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam pertandingan separuh akhir divisyen perdana wanita, pemain nombor satu negara, Wee Wern perlu berdepan saingan sengit daripada Rachel Arnold sebelum mengalahkan lawannya dalam pertarungan empat set 11-7, 6-11, 13-11 dan 11-4 dalam masa 44 minit.
Pemain berusia 30 tahun dari Pulau Pinang, yang juga juara tiga kali kejohanan itu, bakal berdepan pemain nombor dua negara, S. Sivasangari yang mengalahkan Aifa Azman 11-4, 11-13, 12-10, 8-11 dan 11-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
"Saya rasa permainan Sivasangari kini bertambah baik dan dia pernah menjalani latihan di Amerika Syarikat (dan melanjutkan pelajaran), saya pasti ia memberikan sedikit kelebihan kepadanya," kata Wee Wern, yang meraih gelaran kebangsaan pada tahun 2012, 2014 dan 2019.
Keputusan Separuh Akhir:
Perdana Lelaki:
[2] Muhammad Syafiq Kamal [3/4] mn Darren Rahul Pragasm 11-9, 6-11, 11-3, 10-12, 11-8 (70 minit);
[1] Ivan Yuen [3/4] mn Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 12-10, 11-3, 11-9 (50 minit).
Perdana Wanita:
[2] S. Sivasangari bt 3/4] mn Aifa Azman 11-4, 11-13, 12-10, 8-11, 11-1 (48 minit);
[1]Low Wee Wern [3/4] mn Rachel Arnold 11-7, 6-11, 13-11, 11-4 (44 minit).
-Bernama

