Program sukan kendalian KBS, agensi ditangguh hingga 31 Okt
Semua program kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensi di bawahnya perlu ditangguh sehingga 31 Okt ini, kecuali latihan harian atlet sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan.
Menterinya Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat berikutan perkembangan terkini pandemik Covid-19 yang membimbangkan atlet, jurulatih, pegawai sukan, pegawai sokongan, ibu bapa dan juga peminat sukan tanah air.
"Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan program latihan atlet-atlet negara.
"Bagaimanapun, program dan acara sukan luar boleh diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Semua atlet perlu turut mematuhi larangan pergerakan keluar masuk asrama yang terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk gimnasium atau klinik, namun dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali untuk ke lokasi tetap dengan kebenaran jurulatih serta pengurus pasukan.
Reezal Merican berkata arahan dan langkah proaktif yang dilaksanakan adalah bersifat pencegahan, bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di pusat latihan serta asrama atlet agar program latihan harian dapat diteruskan dalam suasana lebih selamat dan kondusif.
Katanya semua atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara disarankan untuk terus mematuhi arahan dan nasihat kesihatan terkini yang sering ditekankan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, atlet, jurulatih dan pegawai juga diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan program berskala besar.
Dia berkata sementara itu atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) dilarang untuk pulang ke kampung halaman bermula dari 12 hingga 31 Okt ini kecuali bagi urusan kecemasan.
Reezal Merican berkata mereka yang telah melakukan pergerakan ke kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah, Klang atau zon kuning dan merah sejak seminggu lepas dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Okt.
- Bernama

