Malaysiakini
SUKAN

PPM, PTM mahu anjur kejohanan gabung muay thai, tinju

Diterbitkan

Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) dan Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) bercadang menganjurkan satu kejohanan khas yang menggabungkan kedua-dua sukan itu tahun depan, dalam usaha mengenal pasti dan menggilap bakat baharu sukan tempur.

Presiden PMM Datuk Muhammad Shahnaz Azmi memberitahu Bernama, cadangan itu yang kini dalam peringkat perbincangan di antara PMM dan PTM akan diketengahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Jelasnya, idea itu timbul ketika perjumpaan dengan Presiden PTM Mohamad Iruan Zulkefli semasa Kem Bakat Cawangan Mengenal pasti Bakat (TID) di Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini.

"Selain boleh menjimatkan kos dengan mengadakan hanya satu kejohanan melibatkan dua jenis sukan, langkah itu juga membolehkan atlet daripada kedua-dua sukan mendapat manfaat tersendiri melalui rakan sepelatih.

"Mungkin juga melalui kejohanan gabungan ini kita boleh mencari lebih ramai bakat seperti atlet muay thai negara Mohammad Rifdean Masdor yang boleh diketengahkan untuk ke sukan tinju," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Shahnaz berkata mereka turut membincangkan hasrat PMM untuk mengetengahkan atlet berpotensinya Mohammad Rifdean kepada sukan tinju dalam usaha membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Katanya PTM terbuka menerima jaguh muay thai itu untuk diserap dalam skuad tinju kebangsaan, namun Mohammad Rifdean perlu melalui beberapa prosedur terlebih dahulu.

"Untuk membolehkan Mohammad Rifdean ke sukan tinju, beliau kena jadi atlet pelapis terlebih dahulu. Namun buat masa sekarang proses tersebut tidak boleh diteruskan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebaik sahaja PKPB berakhir, kita akan buat latihan pertarungan di antara Mohammad Rifdean dan atlet tinju lain. Mohammad Rifdean semestinya telah bersetuju untuk program ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Shahnaz berkata Kejohanan Dalaman Muay Thai yang dijadualkan berlangsung pada November ini ditunda kepada Disember ekoran peningkatan kes COVID-19.

Kejohanan yang akan diadakan di Bukit Jalil itu bakal melibatkan lebih 500 peserta dari seluruh negara.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.