Selangor sasar 45 pingat emas Sukma 2021
Selangor menyasarkan untuk meraih 45 pingat emas dan berada di kedudukan ketiga keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 10 April tahun depan.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa atlet dan pasukan yang akan menyertai temasya dwitahunan berkenaan.
Dia berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi menjawab pertanyaan Mohd Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) mengenai sasaran pingat oleh Majlis Sukan Negeri Selangor pada Sukma Johor 2021.
Dalam pada itu, mengenai persediaan kontinjen Selangor menjelang temasya itu yang dikemukakan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang), Mohd Khairuddin berkata atlet menjalani latihan di kediaman masing-masing dan prestasi mereka dipantau jurulatih menerusi aplikasi video atau Zoom sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lepas.
Katanya, selepas Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan membenarkan pusat latihan dibuka semula pada 1 Julai lepas, atlet Selangor mula menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
“Namun, sejak PKP Bersyarat dikuatkuasakan pada 14 Okt lepas hingga hari ini, atlet Selangor meneruskan kembali sesi latihan di rumah masing-masing,” katanya.
Dia berkata MSN Selangor memandang berat isu keselamatan atlet dan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi membolehkan atlet terus berlatih demi mengekalkan prestasi pada tahap ditetapkan.
- Bernama

