Legenda bola sepak negara ke Olimpik Munich meninggal dunia
Legenda bola sepak negara, Mohamad Bakar, 75, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di George Town, Pulau Pinang kira-kira jam 10.50 pagi tadi.
Anak Mohamad, Siti Mardhiana, berkata bekas pemain skuad kebangsaan itu meninggal dunia ketika dirawat di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Katanya Mohamad dirawat di IPPT akibat penyakit berkaitan kegagalan sumsum tulang untuk menghasilkan darah.
Kata Siti Mardhiana seperti dipetik Utusan Online, jenazah allahyarham dibawa pulang ke rumah mereka di Teluk Ayer Tawar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bagan Ajam selepas solat Asar hari ini.
Mohamad memulakan karier sebagai pemain bola sepak Pulau Pinang pada tahun 1960 dan pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 1985.
Mohamad juga merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang berjaya membawa Malaysia layak diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican, yang juga anggota parlimen Kepala Batas turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad menerusi laman akaun Facebook.

