Malaysiakini
SUKAN

Pemilik kelab Hockademy kemuka rayuan kepada KHM

Bernama

Diterbitkan

Pemilik kelab Hockademy, Megat D Shahriman Zaharudin telah mengemukakan rayuan bertulis kepada Jawatankuasa Rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berhubung hukuman penggantungan terhadapnya selama 18 bulan.

Hockademy, dalam satu kenyataan, mengesahkan rayuan bertulis itu diserahkan kepada KHM pada Selasa lalu.

Melalui surat rayuan setebal 10 muka surat itu, Megat Shahriman mengemukakan beberapa hujah balas bagi mempertahankan tindakannya.

"Sehubungan itu, pihak Hockademy berharap rayuan ini akan dipertimbangkan seadilnya mengikut prinsip dan selaras dengan undang-undang sukan antarabangsa," kata Hockademy.

Pada 3 Nov lalu, KHM membuat keputusan mengenakan hukuman penggantungan selama 18 bulan ke atas pemilik kelab Hockademy itu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu selepas Jawatankuasa Disiplin KHM mendapati Megat Shahriman melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).

Pada Jun lalu, Megat Shahriman meluahkan kekecewaannya selepas Hockademy yang berada di bawah naungan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) tidak menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara LHM Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan