Kelantan FC pertimbang saman 4 individu berpengaruh
Kelantan FC tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap empat individu berpengaruh dalam arena bola sepak negara yang dipercayai melakukan penipuan terhadap pemilik pasukan berkenaan, Norizam Tukiman.
Penasihat Undang-Undangnya, Shairuz Sheffie berkata tindakan itu akan diambil sekiranya individu berkenaan gagal melangsaikan hutang dan memenuhi semua perjanjian termasuk membayar ganti rugi sebelum Khamis ini.
"Pihak Kelantan FC sudah menerima surat permohonan maaf dan penangguhan kali kedua pada 2.30 petang tadi dari wakil empat individu yang terbabit dalam penipuan ini.
"Mereka berjanji akan melangsaikan hutang dan memenuhi semua perjanjian termasuk ganti rugi yang dijanjikan sebelum pada tarikh itu (26 Nov)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shairuz berkata jika mereka gagal mengotakan janji, pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang termasuk menyaman pihak terbabit bagi mendapatkan ganti rugi atas kerosakan yang telah berlaku.
Terdahulu, media melaporkan arena bola sepak negara dikejutkan dengan pembongkaran empat individu dipercayai melakukan penipuan terhadap Norizam.
Sejak Norizam mengambil alih Kelantan FC pada September lalu, pelbagai pembaharuan dilakukan demi kebaikan pasukan itu termasuklah membuat pembayaran tunggakan gaji pemain serta hutang yang mencecah jutaan ringgit.
- Bernama

