Malaysiakini
SUKAN

PTAM cadang teruskan penganjuran kejohanan tempatan hadapi Sukan Sea 2021

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jan 2021, 10:49 pagi

Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) bercadang untuk meneruskan penganjuran beberapa kejohanan tempatan walaupun berdepan situasi tidak menentu susulan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Presiden PTAM, Mohd Iruan Zulkifli, bagaimanapun, menegaskan persatuan berkenaan akan menunda kesemua kejohanan yang telah dirancang sekiranya penularan pandemik itu menunjukkan peningkatan ketara.

Antara kejohanan yang dirancang adalah Kejohanan Piala Malaysia, Kejohanan Golden Glove dan Piala Remaja, namun PTAM masih belum menetapkan tempat dan tarikh khusus untuk kesemua kejohanan itu.

"PTAM akan laksanakan perancangan yang sedia ada untuk memantapkan lagi prestasi skuad negara yang mana mereka perlu ada latihan dan kejohanan terbuka supaya bersedia dengan kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2021 di Vietnam nanti," katanya.

Pada masa sama, Mohd Iruan turut menjelaskan skuad negara termasuk barisan jurulatih telah mula menjalani latihan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Taman Keramat, Kuala Lumpur, setelah disahkan negatif daripada ujian saringan Covid-19 yang diadakan di venue berkenaan, baru-baru ini.

Ditanya mengenai ketua jurulatih baharu negara Rustam Saidov, Mohd Iruan memaklumkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 itu dijangka tiba di Malaysia pada hujung bulan ini dan diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 serta kuarantin selama 10 hari.

PTAM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas petinju dari Uzbekistan itu sebagai ketua jurulatih yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun ini.

Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Saidov turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.