Malaysiakini
SUKAN

FAM, MFL mohon vaksin diberi pada pemain, pegawai

Diterbitkan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), telah memohon kepada kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 2,500 pemain dan pegawai di peringkat elit, demi kelangsungan saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, inisiatif itu hasil perbincangan bersama Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM), dengan sasaran kelompok pemain tempatan dapat diberikan suntikan vaksin dengan kadar segera.

“FAM dan MFL telah berjumpa dengan Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berbincang mengenai perlunya vaksin diberikan kepada pemain dan pegawai secepat mungkin. Mungkin selepas kumpulan petugas barisan hadapan dan keutamaan lain diberikan.

“Kita berdoa vaksin kita dapat digunakan supaya dapat melihat bola sepak tempatan bergerak dengan lebih baik dan berkeyakinan, terhadap kelangsungan saingan Liga-M,” katanya dalam sidang video bersama pihak media, hari ini.

Malaysia dijadual menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech esok, dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan dilaksanakan bermula 26 Feb.

Pada masa sama, Hamidin yang juga Presiden MFL berkata FAM dan MFL akan memastikan semua pasukan Liga-M mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kelancaran perjalanan saingan liga, seterusnya membolehkan penyokong kembali ke stadium.

“Kalau semua berjalan dengan baik mungkin dua atau tiga bulan lagi kita inginkan kemasukan penyokong ke stadium sekurang-kurangnya dengan jumlah 10 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai baki aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun, Hamidin memaklumkan FAM tidak bersedia menjadi tuan rumah bagi saingan yang bakal dijalankan secara karnival itu.

Jelasnya, antara kelima-lima negara dalam saingan kumpulan itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan negara terbaik, memandangkan hampir kesemua rakyat UAE telah menerima suntikan vaksin COVID-19 selain penguatkuasaan SOP lebih bersistematik di negara tersebut.

“Kita serahkan kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk tentukan venue terbaik pada Jun nanti, dan kita komited mahu menghabiskan baki tiga perlawanan saingan kelayakan itu,” katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.